Khamis, 3 Januari 2013

Selamat Tinggal MASA LALU



2012 baru sahaja melabuhkan tirainya. Alhamdulillah, sehingga hari ini, aku masih mampu untuk mengecapi nikmat Allah yang sangat tidak ternilai harganya. Aku bersyukur kerana aku juga masih berada di bawah sifat Ar-RahmanNya dan menikmati hidup sebagai khalifah di muka bumi yang fatamorgana ini. Sungguh, jika dihutung setiap nikmat yang dikurniakanNya, nescaya takkan terhitung walau setinggi mana sekalipun ilmu yang di ada. Segala-galanya adalah milikNya, tidak ada sesuatupun yang terjadi dengan sendirinya melainkan semuanya dengan kehendakNya.

Masa lalu...

Aku teringat kisah Imam Al-Ghazali bersama dengan anak muridnya di mana pernah beliau bertanyakan kepada anak muridnya,” Apakah yang paling jauh dengan kita?” maka, pelbagai jawapan yang keluar dari mulut anak-anak muridnya. “Semua benar tetapi apa yang paling jauh dengan kita adalah masa lalu. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama." Benar, masa lalu takkan pernah berada di hadapan kita setelah ia berlalu. Selangkah kita ke hari esok, berjuta langkah kita meninggalkan hari semalam.

Tirai 2012 meninggalkan terlalu banyak kisah untuk aku abadikan dalam lubuk memori aku. Tahun yang mengajar aku erti kehidupan sebenar. Sedar tak sedar aku sudah selangkah ke alam yang lebih dewasa, alam yang penuh dengan cabaran, alam yang tak pernah terlepas dari pelbagai dugaan. Lumrah kehidupan manusia, cabaran dan dugaan datang silih berganti. Hanya iman dan taqwa sebagai pelindung diri. Dan inilah sebenarnya yang mematangkan diri.

Terkadang ujian yang datang membuatkan diriku terjatuh ke dalam lubuk kegelapan. Aku jadi buntu dan hilang arah tujuan. Aku lupa bahawasanya ujian itulah tarbiah untuk diriku. Aku berdoa, "Ya Allah, kuatkanlah aku, berikanlah kekuatan untuk aku meneruskan hari-hari yang mendatang." Allah maha adil. Dia takkan memungkiri janjiNya. Dia tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Itulah apa yang telah termaktub dalam kitab yang suci lagi mulia, Al-Quran.

Sehinggalah suatu hari di mana Dia telah menghantarkan kepadaku seorang yang mampu mengubat keresahan dan kebuntuan dalam diri. Kehadirannya sungguh membuatku semakin bersemangat untuk meneruskan hari-hari yang mendatang. Namun, aku cepat sedar, bukan itu yang merubah diriku. Aku harus tahu, ia takkan mampu untuk kekal lama. Aku perlu mengerti, sesuatu yang datang itu pasti akan berlalu jua. Oleh kerana itulah aku tidak meletakkan harapan yang tidak pasti untuk sesuatu yang tidak pasti.

Saat ini, segala-galanya hanyalah tinggal kenangan. Kenangan yang mematangkan diri aku. Kenangan yang mengajar aku erti hidup dalam dunia. Terkadang hati kecilku ini menangis seorang diri tanpa aku sedar akan tangisan itu. Tangisan kerana segalanya telah berlalu. Namun, hakikatnya bukan mudah untuk ku sembunyikan gulana gundah. Segalanya telah berubah dan aku perlu berubah.

2013. Lembaran baru dalam hidupku untuk aku mentransformasi diri aku. Aku mahu terus melangkah ke hadapan untuk membina jiwa yang baru walaupun kutahu, "people changes but memories remain". Biarlah memori lama terpahat seketika di penjuru mindaku dengan harapan ianya akan terbang berlalu.

"Hidup itu umpama 3 detik, 1 detik sebelumnya adalah masa lalu, 1 detik saat ini adalah waktu sekarang, dan 1 detik ke hadapan adalah masa depan yang kita tidak ketahui bagaimanakah ia. tetapi 1 detik saat inilah yang akan mempengaruhi 1 detik ke hadapan."

2 luahan hati:

Link Exchange

Tinggalkan link anda disini untuk saya membalas kunjungan anda. Terima kasih :)